USIM BEKAL CECAIR PEMBASMI KUMAN KEPADA PETUGAS MEDIA

Rabu, 8 April 2020
Oleh: Pusat Komunikasi Strategik USIM

1/2

NILAI: Pengamal media memainkan peranan penting sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Mereka bertindak sebagai barisan hadapan yang turun ke lapangan untuk melaporkan berita kepada masyarakat berkaitan PKP dan COVID-19.

Justeru, pengamal media juga tidak terkecuali daripada terdedah kepada jangkitan wabak berkenaan.

Menyedari perkara tersebut, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyumbangkan 60 botol cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) kepada petugas media di negeri ini.

Matlamat inisiatif itu sebagai perlindungan tambahan dalam aspek penjagaan kebersihan.
 

Sumbangan hand sanitizer dihasilkan oleh Faculty Science and Technology Laboratory in a Box (FaST LaB) telah disempurnakan oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Profesor Dr Rosalina Abdul Salam.

Hadir menerima sumbangan berkenaan di USIM pada hari ini adalah Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), Encik Arfi Ahmad. 

“Sumbangan ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada para petugas media.

"Mereka turut berkorban masa; tenaga dan keselamatan diri, dalam melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.

"Tujuannya bagi menyampaikan berita yang benar dan terkini kepada kita sepanjang masa. Mereka juga frontliners kepada kita dan Malaysia," ujar Profesor Dr Rosalina.

Menurut beliau, USIM membekalkan hand sanitizer dalam botol bersaiz mini berkapasiti 60 mililiter, agar senang disimpan dalam beg atau poket.

"Jadi mudah dibawa oleh petugas media sepanjang masa, apabila perlu membuat liputan di luar khususnya,” katanya.

Hand sanitizer yang dihasilkan oleh FaST LaB USIM ini mengikut piawaian World Health Organization (WHO) dan turut melalui ujian makmal penyelidikan USIM, bagi memastikan keberkesanannya terhadap mikroorganisma.

Usaha menghasilkannya bagi memenuhi keperluan warga kampus dan kumpulan barisan hadapan, sebagai langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko penularan virus COVID-19 dan bakteria berbahaya.

Sebanyak 200 liter hand sanitizer telah dihasilkan sehingga kini, di mana 3,200 botol telah pun diedarkan kepada pelbagai pihak.

Selain memenuhi keperluan dalam kampus, USIM turut menyumbangkan hand sanitizer itu kepada anggota beruniform iaitu Rejimen 508 Askar Wataniah Kem Rasah, Seremban; Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dan Balai Bomba Nilai.

Hand sanitizer berkenaan juga dibekalkan di Pusat Kuarantin Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Pusat Kuarantin Institut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek, bagi memenuhi keperluan petugas di sana.

Usaha USIM untuk membantu barisan hadapan dengan memanfaatkan kepakaran dimiliki pensyarah, telah mendapat pujian dan pengiktirafan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr Noraini Ahmad ketika membuat lawatan ke kampus USIM pada Jumaat lalu.