AHLI MAJLIS BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Isnin, 08 April 2019 

1/6

SEREMBAN :  "Ya, boleh (dikenakan tindakan). Kita boleh batalkan pelantikan mereka yang terlibat," tegas Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

Demikian respons beliau ketika diminta mengulas berhubung pemeriksaan Jabatan Imigresen terhadap seorang wanita berusia 45 tahun yang dipercayai merupakan Ahli Majlis Tampin, pada 6 April lalu.

Menurut laporan media, wanita itu disyaki melindungi lelaki warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah di negara ini, selain didakwa bersekedudukan di sebuah rumah.

Bagaimanapun sebelum Kerajaan Negeri Sembilan mengambil sebarang keputusan, kata Aminuddin, adalah lebih adil untuk memberi laluan kepada siasatan Jabatan Imigresen terlebih dahulu.

"Kita takkan halang tanggungjawab pihak Imigresen kerana itu (memang) kerja mereka, penguatkuasaan mereka. 

"Tapi saya dapat maklumat, ia masih dalam siasatan dan Ahli Majlis terbabit dipanggil untuk beri keterangan hari ini.

"Insya-Allah, kita akan lihat bagaimana laporan tersebut dan terserah kepada siasatan Jabatan Imigresen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan bagi tahun 2018 di Klana Resort, di sini.
 

Untuk rekod, media turut melaporkan sebelum ini bahawa lelaki warga asing yang ditahan oleh Jabatan Imigresen, dipercayai suami kepada wanita terbabit.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Tuan Mohammed Khalil Ali setelah mendapati wanita berkenaan mempunyai sijil pernikahan yang dijalankan di Narathiwat, Thailand. 

Berdasarkan keterangan diperolehi daripada wanita terbabit, kata beliau, dipercayai kedua-duanya sudah pun bernikah di Thailand pada 2013.