KANAK-KANAK PANDU KERETA BERJAYA DIKESAN

Isnin, 07 September 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan Bernama
 

1/1

REMBAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang tular memandu sebuah kereta, di sini, telah berjaya dikesan di sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihak polis telah menjalankan siasatan berdasarkan maklumat dari video yang tular.

"Hasil siasatan kita berjaya mengesan kedudukan kanak-kanak dan kereta terbabit di Kampung Bongek.

"Siasatan awal mendapati, kanak-kanak itu memandu kereta tersebut tanpa pengetahuan dan kebenaran bapanya yang berusia 47 tahun.

"Pihak polis telah mengeluarkan saman di bawah Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987, atas kesalahan tuan punya kenderaan membenarkan kenderaan dipandu oleh pemandu bawah umur," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurut Anuar Bakri, satu laporan polis juga telah dibuat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak.

"Kes akan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau," katanya.

Hari ini tular satu video berdurasi 53 saat di Facebook yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu sebuah kereta Proton Saga.