LABU DIPILIH SEBAGAI KAMPUNG ANGKAT PERGIGIAN NEGERI SEMBILAN

Sabtu, 7 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol 
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/5

SEREMBAN: Mukim Labu, Negeri Sembilan dipilih sebagai Kampung Angkat Pergigian Negeri Sembilan sempena Minggu Promosi Kesihatan Pergigian yang berlangsung pada 8 September hingga 14 September ini.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, projek itu melibatkan 36 kampung di negeri ini malah setiap Klinik Pergigian Kerajaan di Negeri Sembilan bertanggungjawab kepada sebuah Kampung Angkat.

Menurutnya, program ini merupakan inisiatif Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sembilan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan pergigian.

"Program ini telah pun bermula sejak tahun lepas dan dijalankan serentak di seluruh Malaysia. Kita (Kerajaan Negeri) amat berbangga (apabila) Negeri Sembilan dipilih sebagai tuan rumah pada tahun ini, dengan temanya 'Doktor Gigi-Pastikan yang Ori!.

"Penganjuran (program) ini (dilaksanakan) berikutan peningkatan aduan berkaitan aktiviti doktor gigi haram sepanjang tahun 2016 hingga 2018.

"Pada tahun 2013, terdapat 28 aduan mengenai kes ini dan jumlah terus meningkat kepada 138 aduan pada tahun 2018. Sebanyak 47 kes telah dibawa ke mahkamah untuk pengadilan (sepanjang tahun 2015 hingga 2019)," katanya.

Belia berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Minggu Promosi Kesihatan Pergigian dan Kampung Angkat Pergigian Negeri Sembilan di Dewan Dato' Shahardin, Labu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noormi Othman berkata, aktiviti doktor gigi haram ini boleh memberi impak negatif kepada pesakit sekiranya tidak dibanteras lebih awal.

"Kes ini selalu berlaku dalam kalangan belia seperti (tawaran) pasang pendakap gigi (braces); pemutihan gigi; pemasangan 'crown' (sarung gigi) dan 'veneer' (tampalan) pergigian. 

"Golongan dewasa dan warga emas juga turut diperdaya oleh mereka (doktor gigi haram) dengan menawarkan perkhidmatan pembuatan gigi palsu dan cabutan.

"Saya ingin ingatkan kepada semua, janganlah mudah terpedaya dengan helah ini dan sama-sama kita hindarinya," katanya.