MVV 2.0 TARIK MINAT PELABUR DARI SINGAPURA

Isnin, 7 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Jurufoto: Muhamad Syawal Saleh

1/1

SEREMBAN: Projek Pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) menarik minat pelabur dari Singapura untuk meluaskan pelaburan ke Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan tertutup dengan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, baru-baru ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Sembilan dijemput untuk datang ke negara itu bagi memberikan penerangan mengenai projek MVV 2.0 kepada pelabur Singapura.

"Mereka ingin tahu apakah yang ada di MVV. Mereka lihat MVV ada potensi yang besar untuk 'dijual' kepada pelabur Singapura. Kalau negeri ini ada kawasan perindustrian bebas, saya yakin ini juga akan menarik lebih ramai pelabur datang ke negara kita.

"Mereka juga bertanyakan tentang pekerja negeri ini sama ada cukup atau pun terpaksa import pekerja (asing), kalau mereka buka kilang di sini. 

"Kita (dah) maklumkan bahawa kita ada ramai tenaga kerja yang berada di luar (Negeri Sembilan). Jika banyak kilang di buka, mereka (pekerja) ada peluang untuk balik dan berkhidmat di Negeri Sembilan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perjumpaan itu, Aminuddin berkata, Kerajaan Singapura turut menawarkan untuk membuka pejabat pelancongan dan perdagangan di republik berkenaan.

"Kita akan kaji untuk lihat keberkesanannya. Kalau idea itu betul-betul mendatangkan manfaat, kita akan ambil kesempatan tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek untuk menggerakkan kunjungan balas.

Pada masa sama, mereka turut membincangkan mengenai kempen pelancongan kepada rakyat di Singapura memandangkan Negeri Sembilan mempunyai banyak kawasan menarik yang boleh dikunjungi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, baru-baru ini.