MAHATHIR DAN KEPIMPINAN TERTINGGI PH SERTAI KEMPEN ANWAR

Ahad     07 Oktober 2018          

07 oct 1-1.jpg

PORT DICKSON: Kepimpinan tertinggi empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) disahkan bakal menyertai ceramah perdana sempena kempen besar-besaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, malam esok.

Selain Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, pemimpin kanan PH lain yang akan membantu calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata kehadiran kepemimpinan tertinggi parti komponen PH bakal itu akan menyemarakkan lagi semangat jentera parti dalam memastikan kemenangan Anwar, 13 Oktober ini.

"Persiapan sudah mencecah 95 peratus bagi kehadiran Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk membantu Anwar berkempen di sini, malam esok.

"Kita menjangkakan dapat menarik perhatian kira-kira 10,000 pengunjung dalam program itu nanti yang akan berlangsung di hadapan Bilik Gerakan Utama (BGU) PH di PD Waterfront Port Dickson, bermula jam 8 malam," katanya pada sidang media di BGU, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi PKR negeri dan Pengarah PRK Port Dickson, Aminuddin Harun dan Timbalan Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan, Eddin Syazlee Shith.

Sementara itu, Saifudin berkata, kempen Anwar sudah memasuki hari kelapan dan setakat ini beliau sudah melawat hampir keseluruhan kawasan mengundi dalam Parlimen Port Dickson.

"Calon sudah sampai ke semua kawasan DUN dengan menemui hampir semua segmen pengundi kalangan nelayan, pemuda, pendidik, peniaga kecil, pemimpin dan penggerak masyarakat dan budaya," katanya.

Dalam usaha memastikan peratusan keluar mengundi pada PRK itu nanti meningkat, beliau berkata pihaknya mewujudkan pusat panggilan untuk menghubungi pengundi yang tinggal di luar kawasan.

Katanya, berdasarkan senarai pengundi diperoleh kira-kira 35 peratus pengundi Port Dickson menetap di luar kawasan.

"Jentera parti akan menghubungi mereka bagi mengingatkan dan memujuk pengundi pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 13 Oktober ini," katanya.