OPS SARANG GEMPUR POT POKOK KEKABU

Jumaat, 07 Ogos 2020

Oleh: Urwatif Mohamad
Foto: Ihsan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol

1/3

GEMAS: Satu pot pengedaran dan penagihan dadah yang dikenali sebagai Pot Pokok Kekabu di Felda Palong 5, di sini, telah digempur.

Serbuan dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dalam operasi Ops Sarang, semalam.
 
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, pot yang terletak dalam sebuah kebun kelapa sawit itu telah digempur sekitar jam 9 pagi.

"Operasi dijalankan dengan bantuan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan; Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Seremban dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Nilai.

"Pot ini dipercayai mula aktif sejak dua bulan lalu dan menjadi tumpuan penagih dari sekitar kawasan tersebut," katanya.

Menurutnya, tangkapan dibuat membabitkan 23 lelaki dan seorang perempuan Melayu berusia lingkungan 29 hingga 44 tahun, yang merupakan penduduk tempatan.

"Turut dirampas sejumlah dadah dari dua tokan iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang perempuan berusia 29 tahun. 

"Kesemua tokan dan penagih yang ditangkap telah menjalani ujian saringan air kencing dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya.