PENYAMPAIAN MAKLUMAT BERKAITAN KERAJAAN PERLU DIPERLUASKAN

Rabu, 7 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

Juruvideo: Muhammad Faiz Limat

1/5

JEMPOL: Kerajaan Negeri mahu segala maklumat berkaitan kepimpinan, pengurusan dan hala tuju kerajaan diperluaskan serta difahami oleh seluruh warga Negeri Sembilan.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, pemimpin di peringkat masyarakat juga perlu maklum tentang pencapaian; hasrat dan matlamat Kerajaan Negeri Sembilan agar dapat disampaikan kepada rakyat. 

"Kita rasa bahawa (satu) keperluan untuk pastikan pengukuhan kerjasama iaitu muafakat dan kesejahteraan kepada semua, agar dapat capai matlamat yang kita harapkan. 

"Kita lihat bahawa (pada) program hari ini (semalam), ingin mereka faham apa Kerajaan Negeri telah lakukan; telah capai; belum capai dan yang tengah (sedang) laksanakan.

"Kita nak mereka tahu apa kerajaan buat dalam tempoh lima tahun ini," katanya.

Menurutnya, pihak kerajaan juga menerima pandangan daripada pemimpin masyarakat mengenai segala aktiviti di bawah Kerajaan Negeri yang perlu dipertingkatkan dari segi penyampaian maklumat, terutamanya kepada penduduk yang tinggal di kawasan kampung.

"Insya-Allah kita akan baiki feedback (pandangan) itu, dan inilah tujuan kita turun berjumpa dengan masyarakat keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Pengukuhan Pengurusan dan Kepimpinan Kerajaan Peringkat Daerah Jempol di Pejabat Daerah Jempol, di sini, semalam. 

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pangkat dan kedudukan bukan untuk dibanggakan, sebaliknya perlu dimanfaatkan bersesuaian dengan kehendak Ilahi.

"Kita berdoa, (semoga) Allah sentiasa menghiasi hati kita semua dengan bimbingan dan petunjuk-Nya dalam mengurus dan memimpin," katanya.

Justeru, beliau berharap melalui seminar itu mampu memberikan input terbaik untuk pembangunan dan kemajuan masyarakat serta negeri.