HANYA JEMPUTAN SEBELUM 29 FEBRUARI DIBENARKAN: PKHARUDDIN

Sabtu, 07 Mac 2020

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Foto: Mohd Zamzuri Daud

1/4

NILAI: "Arahan kita ialah (mana-mana) sekolah yang dah buat jemputan sebelum 29 Februari lepas, (dan) telah pun dipersetujui kehadiran tetamu ke sekolah itu, jadi kekallah (undangan berkenaan). 

"Sebab (faktor) adab dan adat. Kita orang Malaysia bila dah mengundang (seseorang), kita santunilah tetamu yang kita undang itu," ujar Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Dato' Haji Pkharuddin Haji Ghazali.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita yang ingin kepastian sekiranya benar bahawa pihak sekolah tidak lagi mendapat keizinan untuk menjemput ADUN dan Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) bagi merasmikan program sekolah di negeri ini.



 

Situasi itu rentetan perubahan tampuk kepimpinan di peringkat kerajaan pusat pada 1 Mac lalu, yang menyaksikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8. 

Bagaimanapun tegas Pkharuddin, setiap undangan membabitkan orang kenamaan yang hendak dibuat selepas ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, serta arahan terkini sekiranya dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Sebenarnya perkara macam ini akan sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Apa yang penting, kita akan ikut SOP yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dan pihak kerajaan.

"Jadi (sementara itu), kita cuba santuni semua pihak. (Bagaimanapun) setakat ini, saya belum terima apa-apa arahan secara bertulis. Tapi kita dah ada pekeliling SOP untuk menjemput orang kenamaan bagi menghadiri aktiviti di sekolah," katanya.

Menurutnya, langkah tersebut juga diambil bagi mengelakkan sebarang konflik di Negeri Sembilan.

"Kita tak nak (timbul) apa-apa konflik pun. Sebab kalau berlaku konflik di kalangan kita di Negeri Sembilan, sayanglah.

"Kita dah (berada di kedudukan) nombor dua di peringkat negara (bagi keputusan SPM). Kalau kita bertelagah, sebenarnya yang jadi mangsa (adalah) anak-anak kita di sekolah.

"(Perjalanan hidup) kita dah tinggal sehari dua saja. Tapi anak-anak kita, panjang lagi perjalanan (mereka). Kita harap tak ada konfliklah dalam kita mendidik," katanya ketika ditemui pada Sidang Media Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2019 di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, di sini, kelmarin.