NS BAKAL TERIMA PELABURAN ASD40 JUTA

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Khamis, 07 Mac 2019 

1/4

SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal menerima pelaburan berjumlah ASD40 juta daripada pelabur Taiwan yang berminat membina kilang dalam sektor pembuatan kaca gentian.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, syarikat terbabit sedang mencari tapak yang paling sesuai sama ada di Nilai atau Sendayan untuk pembinaan kilang berkeluasan hampir 100 ekar. 

Melalui pelaburan itu katanya, dijangka bakal mewujudkan kira-kira 250 hingga 500 peluang pekerjaan melibatkan tenaga mahir dan kurang mahir.

"Mereka buat (pembinaan kilang) sebanyak tiga fasa. Bagi fasa pertama dan kedua, mereka perlukan lebih kurang 250 hingga 300 pekerja manakala fasa ketiga 500 pekerja. 

"Mereka ingin melabur segera. Insya-Allah, kita doakan supaya (perkara ini) jadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2018 di Klana Resort, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik dan Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Tuan Haji Ismail Ahmad.