LELAKI PANAS BARAN DIHUKUM PENJARA TIGA BULAN

Khamis, 07 Januari 2021

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib @ Kero
Foto: Laman media sosial

press to zoom

press to zoom

press to zoom
1/2

JELEBU: Pasti ramai yang tertunggu-tunggu perkembangan terkini kes seorang lelaki yang didakwa memukul pekerja stesen minyak di Taman Sri Chempedak, Kuala Klawang pada Disember 2020, kan?

Kes ini menjadi tumpuan netizen di seluruh negara sejak beberapa hari lalu, selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden berkenaan tersebar di media sosial.

Untuk makluman anda semua, lelaki tersebut iaitu Muhamad Hidir Malik, 38, dari Titi, Jelebu telah dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Jelebu, di sini, pada hari ini.
 

Majistret, Khir Nizam Jemari membuat keputusan itu selepas mendengar dan menerima pengakuan bersalah Muhamad Hidir atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Perbuatan tertuduh yang mendatangkan kecederaan kepada Mohamad Aiman Nasir Abdullah, 20, pada 19 Disember 2020 jam 4.30 petang itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, Muhamad Hidir yang bekerja sebagai penunda kenderaan telah memukul kepala mangsa sebanyak satu kali menggunakan topi keledar.

Tidak cukup dengan itu, dia juga memukul mangsa pada bahagian muka sebanyak satu kali dengan menggunakan tangan, hingga menyebabkan mangsa terjatuh.

Muhamad Hidir telah bertindak sedemikian kerana berang, berikutan berlaku sedikit tumpahan minyak pada motosikalnya ketika diisi oleh mangsa.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.