PERHIMPUNAN BULANAN PENTADBIRAN DI SETIAP DAERAH

Oleh: Mohd Amin Jalil       Isnin, 07 Januari 2019 

SEREMBAN: Perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan akan diadakan secara bergilir-gilir di setiap daerah di negeri ini mulai bulan depan.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, langkah itu diambil bertujuan untuk merapatkan hubungan antara pemimpin negeri, penjawat awam dan rakyat.

Katanya, pendekatan itu juga dapat memberi peluang pemimpin bersemuka dengan rakyat dan membantu menyelesaikan apa juga permasalahan dihadapi rakyat setempat.

"Kita akan anjurkan program ini (perhimpunan bulanan) di setiap daerah mulai bulan depan. Selain ahli Exco, pegawai kerajaan juga akan turut sama hadir pada program itu.

"Pada hari sama juga, kita akan adakan akitiviti turun padang bertemu rakyat pada sebelah petang dan mungkin sehingga malam bergantung kepada kesesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat tahun baharu 2019, pada perhimpunan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir, ahli-ahli EXCO dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malek.

Terdahulu dalam ucapannya, Aminuddin menggesa penjawat awam negeri ini memberikan komitmen tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab bersama memastikan hasil ekonomi negeri dikembalikan untuk kesejahteraan rakyat selari dengan aspirasi Belanjawan  2019.

"Kita perlu berkhidmat dan berbakti secara  profesional, cekap, cepat, amanah dan berkualiti kerana rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan yang terbaik daripada kita.

"Saya harap penjawat awam dapat sama-sama memastikan urusan belanjawan negeri ini dapat diselesaikan segera tanpa menunggu sehingga akhir tahun ini untuk memastikan rakyat dapat merasai nikmatnya," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan pembelian kenderaan baharu untuk kegunaan Exco, Menteri Besar mengesahkan pembelian kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, ia dibuat mengikut peraturan kerana kenderaan yang diguna pakai Exco terdahulu sudah melepasi usia lima tahun.

"Pembelian kenderaan itu mengikut peraturan. Kita menawarkan kereta lama itu dijual kepada Exco terdahulu jika berminat untuk membeli, atau mungkin kita lupuskan kerana sudah melepasi usia lima tahun dan itu adalah peraturan biasa dan dibolehkan.

"Kita ikut peraturan kewangan yang ditetapkan dan ia tidak timbul isu sama sekali, namun mereka yang meraguinya boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa (SPRM)," katanya.

1/4