MDDKNS HARGAI INISIATIF USIM BANTU BARISAN HADAPAN

Selasa, 07 April 2020
Oleh: Pusat Komunikasi Strategik USIM

1/3

NILAI: Inisiatif pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membantu menghasilkan pelindung muka (face shield) bagi anggota kesihatan barisan hadapan, dihargai pelbagai pihak.

Usaha diketuai Dr Mohd Ifwat Mohd Ghazali itu menggunakan teknologi Mesin Cetakan Tiga Dimensi (3D).

Menghargai langkah berkenaan, Majlis Dato’- Dato’ Kurnia Negeri Sembilan (MDDKNS) telah berbesar hati menghulurkan sumbangan sebanyak RM8,000 kepada Jemaah Profesor USIM (JPU).

Tujuan sumbangan tersebut untuk membeli tiga unit Mesin Cetakan 3D baharu sebagai tambahan kepada lima unit Mesin Cetakan 3D sedia ada yang dimiliki USIM.
 

Penyampaian sumbangan berkenaan disempurnakan baru-baru ini oleh Setiausaha MDDKNS, Dato’ Amiruddin Radzi kepada wakil JPU, Profesor Dato’ Dr Muhammad Taufik Mohd Nor dan Dr Mohd Ifwat.

Turut hadir menyaksikan penyerahan itu adalah Yang Dipertua MDDKNS, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Aseh Che Mat.

Menurut Dr Mohd Ifwat, beliau dan pasukannya amat menghargai sumbangan kewangan berkenaan.

Melalui penambahan unit Mesin Cetakan 3D, katanya, berupaya meningkatkan lagi kuantiti pelindung muka yang dapat disiapkan dalam sehari.

“Permintaan dan keperluan kepada pelindung muka amat tinggi di hospital dan klinik kesihatan pada masa kini.

"USIM cuba penuhi dan membantu menyediakannya, sebagai satu tanggungjawab sosial universiti," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya beroperasi 24 jam di Tapak Penyelidikan Rumah Mizan USIM menggunakan Mesin Cetakan 3D sedia ada, dengan purata setiap mesin mampu menghasilkan lima hingga 10 unit pelindung muka sehari.

“Alhamdulillah, selain menerima sumbangan tiga unit mesin dari MDDKNS, kita juga gembira apabila JPU turut sama menyumbang dana untuk perolehan empat unit lagi Mesin Cetakan 3D.

"Proses perolehan keseluruhan tujuh unit Mesin Cetakan 3D hasil sumbangan MDDKNS dan JPU telah dibuat dan kita akan menerimanya dalam sedikit masa lagi," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 360 pelindung muka lengkap bersama pelindung plastik pakai buang telah berjaya disiapkan untuk anggota barisan hadapan.

Hospital Ampang; Hospital Tuanku Ja'afar; Hospital Rembau dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan merupakan penerima pelindung muka tersebut.

Usaha dan inovasi USIM untuk membantu barisan hadapan dengan memanfaatkan kepakaran dimiliki pensyarah, turut mendapat pujian dan pengiktirafan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr Noraini Ahmad ketika membuat lawatan ke Bilik Gerakan COVID-19 USIM pada Jumaat lalu.