REMAJA TERIMA PADAH BUAT AKSI WHEELY

Ahad, 06 September 2020

Oleh: Urwatif Mohamad

Foto: Ihsan IPD Seremban
 

1/3

SEREMBAN: Gara-gara membuat aksi wheely ketika menunggang motosikal secara berasingan, mengakibatkan dua remaja ditahan polis pada petang semalam.

Remaja berusia 22 dan 20 tahun itu telah ditahan dalam satu Operasi Samseng Jalanan yang dilaksanakan sekitar Jalan Taman Seremban Selatan, di sini.

Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, dua pegawai dan enam anggota ditugaskan membuat rondaan bagi memantau aktiviti samseng jalanan di kawasan berkenaan.



 

"Semasa pemantauan, kelihatan dua lelaki Melayu menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 secara berasingan telah membuat aksi ‘wheely’ di Jalan BSS 2 sebanyak beberapa kali.

"Aksi tersebut boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Anggota pemerhati telah menahan kedua-duanya dan seterusnya dibawa ke Balai Trafik IPD Seremban untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu, sebanyak 16 keping saman atas pelbagai kesalahan juga dikeluarkan dan empat motosikal turut disita melalui operasi berkenaan yang dijalankan sehingga jam 10 malam.