OPSYEN PENYELESAIAN MASALAH TAMAN PERPADUAN HEIGHT DIKAJI

Jumaat, 06 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Nurul Haryani Hasrol & Muhamad Syawal Saleh

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah mengkaji beberapa opsyen bagi menyelesaikan masalah yang melanda projek perumahan terbengkalai Taman Perpaduan Height di Kuala Pilah.

Langkah itu susulan memorandum diterima daripada Ahli Jawatankuasa Bertindak Pembeli (PROTEM) yang menyentuh beberapa perkara antaranya kaedah penyelesaian; bidang kerjasama dan kaedah pelaksanaan.

Sehubungan itu kata Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun, pihaknya telah mencari formula yang terbaik berlandaskan opsyen-opsyen dicadangkan jawatankuasa berkenaan.  

"Pihak kita masih menimbangkan (perkara ini) dan akan buat keputusan dalam masa terdekat, dalam (tempoh) seminggu dua ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, kelmarin.

Turut hadir adalah Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Tuan Teo Kok Seong serta Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB Tuan J Arul Kumar.

Projek pembinaan Taman Perpaduan Height yang terletak kira-kira lima kilometer dari Pekan Kuala Pilah telah dimulakan pada tahun 1999.

Ini melibatkan 169 unit rumah kos rendah dua tingkat; 55 unit rumah kos sederhana satu tingkat dan tujuh unit rumah kedai satu tingkat bagi fasa pertama.

Kegagalan pemaju menyiapkan sepenuhnya projek itu menyebabkan Taman Perpaduan Height diisytiharkan terbengkalai pada 31 Disember 2006.

Pembeli pula kebanyakannya dalam kalangan penjawat awam, kakitangan swasta dan pekerja bawahan, di mana seramai 157 melayu; 39 Cina dan 16 India.