BINA GENERASI KELAS PERTAMA BERTERASKAN ILMU AQLI DAN NAQLI

Khamis          06 September 2018       Foto: Md Amin Jalil dan Khairulkheiza Mohd Najib

06 sep 5-1
06 sep 5-2
06 sep 5-3
06 sep 5-4
06 sep 5-5

NILAI: Pelajar baharu Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) disaran memanfaatkan sepenuhnya konsep pendidikan berteraskan gabungan elemen sains dan Islam, untuk menjadi graduan berkualiti yang menguasai pelbagai cabang ilmu.

 

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pelajar harus bersedia dengan menanamkan azam yang tinggi untuk mengejar dan menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan sepanjang berada di institusi pendidikan berkenaan.

 

"Institusi pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat negara ini terus membangun dan membentuk minda kelas pertama, di samping memiliki nilai sahsiah yang terpuji.

"Paduan disiplin ilmu konvensional dengan pendidikan Islam yang diperkenalkan Usim bukan sahaja akan dapat melahirkan insan yang berilmu serta berkemahiran, malah mampu mewujudkan rakyat berkualiti dan berdaya saing.

"Justeru kehadiran anda di sini adalah satu pilihan yang tepat dan saya mengharapkan anda semua dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menimba ilmu serta kemahiran, bagi mencapai status generasi berdaya tahan dengan kekuatan rohani yang mantap," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2018/2019 USIM, di sini, petang tadi.

 

Aminuddin berkata, dalam melahirkan graduan yang berkualiti, universiti sentiasa komited memberi peluang dan ruang kepada pelajar untuk meningkatkan kebolehan dan bakat.

 

Menurutnya, seorang bakal graduan yang hebat, bukan sahaja cuma hadir di kuliah tetapi sebaliknya turut bergiat aktif dalam pelbagai bidang di luar waktu kuliah, bagi mendapatkan nilai tambah.

 

Tegasnya, peluang mendapatkan `soft skill' wajar sekali direbut oleh setiap pelajar baharu bagi membentuk dan membina kepemimpinan dalam diri masing-masing.

 

"Saya menyeru semua pelajar agar bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjadi individu yang proaktif dan inovatif bermula pada hari pertama anda berada di Usim.

 

"Menjadi harapan saya dan kerajaan negeri, agar pelajar USIM dapat mendalami ilmu yang dipelajari di sini dengan sebaik-baiknya bagi membawa nama Malaysia dan Islam ke peringkat lebih tinggi serta dihormati," katanya.

 

Seramai 2,198 pelajar baharu membabitkan 1,560 pelajar perempuan dan 638 pelajar lelaki mendaftarkan diri untuk melanjutkan pengajian di sembilan fakulti di Usim.