NAFI BERLAKU PEMBALAKAN HARAM DI LENGGENG

Khamis          06 September 2018          Foto: Nabilsyafiq Mohd Hamzah

06 sep

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menafikan berlakunya aktiviti pembalakan haram di hutan simpanan Lenggeng seperti yang didakwa oleh individu dalam laman sosial, baru-baru ini.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun, berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan negeri mendapati bahawa gambar yang dimuat naik oleh individu berkenaan yang menunjukkan kawasan hutan telah dibersihkan, adalah gambar lama.

 

"Itu adalah gambar lama yang telah dimuat naik dan siasatan lanjut mendapati bahawa pemilik akaun Facebook terbabit adalah kakitangan kerajaan di sini.

"Bagi saya, ia adalah satu tuduhan yang keterlaluan. Saya tidak akan mempertahankan sebarang masalah di negeri

ini jika ia benar, tetapi ini adalah tuduhan yang tidak berasas dan fitnah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau telah mengarahkan satu laporan polis dibuat berikutan tuduhan itu kerana ia mencemarkan imej kerajaan negeri.

 

Tegas beliau, kerajaan negeri bersedia menerima kritikan dan pandangan daripada sesiapa sahaja, tetapi mereka mesti bertanggungjawab terhadap kritikan berkenaan.

 

"Jika ia adalah fitnah, kita perlu mengambil tindakan terutamanya jika ia dilakukan oleh kakitangan kerajaan. Ini telah diingatkan secara meluas bahawa penjawat awam harus bertanggungjawab dan berkhidmat kepada kerajaan hari ini.

 

"Jika ada sebarang aduan, sila tunjuk kepada kami dan ia akan disiasat. Kami akan mengambil tindakan jika ia terbukti benar," katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata cadangan untuk menukar status tanah dan rumah daripada pajakan kepada kekal akan tetap dilaksanakan.

 

"Perkara ini akan diperincikan supaya pelaksanaannya tersusun dan tidak timbul masalah pada masa depan," katanya.

 

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan melantik Hanis Huzairah Abd Hanan, 45, sebagai Yang diPertua MPN yang baru.

 

“Perlantikan itu merupakan perlantikan wanita pertama bagi jawatan itu di negeri ini. Beliau pernah berkhidmat di Negeri Sembilan selama 11 tahun di bawah Unit Kerajaan Tempatan sebelum bertukar ke Kementerian Sumber Asli. Proses lantikan itu sedang diproses ketika ini,” katanya.