TUTUP PERSIMPANGAN FOREST HEIGHT ATASI KESESAKAN LALU LINTAS

Ahad, 6 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/1

SEREMBAN: Penutupan jalan persimpangan Forest Height dilaksanakan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, tempoh percubaan akan berlangsung selama sebulan dan telah berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.

"MPS sedang buat kajian tentang percubaan ini. Kita akan dapatkan laporan daripada MPS; polis dan JKR untuk lihat sama ada penutupan ini dapat kurangkan masalah lalu lintas yang dihadapi penduduk setempat.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tak terima 'feedback' buruk. Ini perkara biasa dalam sebuah negara, (apabila) kita buat kajian untuk lihat keberkesanan bagi penambahbaikan yang diperlukan oleh rakyat dan kita harap mereka memahami.

"Jika perkara ini mendatangkan kebaikan, kita akan teruskan. Kalau tak mendatangkan kebaikan, kita akan tamatkan percubaan ini," katanya.

Sehubungan itu, Aminuddin berharap masyarakat dapat memberi sokongan terhadap kajian berkenaan agar permasalahan yang dihadapai pengguna lalu lintas dapat diselesaikan.

"KIta dah maklumkan pada mereka (MPS). Sekiranya dalam tempoh percubaan gagal,(sehingga) menyebabkan kesesakan, saya minta dibuka serta-merta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.