DR MAHATHIR BAKAL TAMPIL DI PD ISNIN INI

Sabtu     06 Oktober 2018          

06 oct 1-1.jpg

PORT DICKSON: Kehadiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Port Dickson, bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Isnin ini, akan dapat memadamkan keresahan mengenai hubungan beliau dengan calon Pakatan Harapan (PH) PRK berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agong PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail berkata, kehadiran Dr Mahathir juga akan dapat meredakan pelbagai spekulasi pihak tertentu berhubung hubungan antara kedua-dua tokoh berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, kehadiran beliau nanti dapat membuktikan sokongan padu kepada PRK ini.

"Lazimnya Dr Mahathir jarang turun dalam PRK kerana terlalu sibuk dalam urusan harian dan jadual kerja yang padat.

"Justeru, saya sangat mengalu-alukan kehadiran beliau untuk membantu kempen Anwar.

"Kehadiran Dr Mahathir sangat signifikan dan saya yakin ia bukan sahaja bakal memadamkan keresahan pihak-pihak tertentu mengenai hubungannya dengan Anwar, malah dapat menaikkan semangat penduduk Port Dickson untuk keluar pada hari pengundian, 13 Oktober ini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PRK Port Dickson, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengarah PRK Port Dickson, Tuan Haji Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Saifudin berkata, Dr Mahathir akan bersama dengan ketua-ketua parti komponen yang lain pada majlis kempen besar-besaran bagi PRK itu pada Isnin ini.

Beliau berkata, majlis itu yang akan berlangsung di Pekarangan Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, PD Waterfront bermula jam 8 malam, akan turut menampilkan Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin kanan PH yang lain.

"Bagaimanapun, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mungkin tidak dapat hadir kerana kurang sihat.

"Namun, kehadiran Dr Mahathir sudah cukup besar maknanya," katanya, yang menyasarkan kehadiran sekitar 10,000 orang.

Sementara itu, Saifudin mengulangi sekali lagi bahawa pihaknya tidak nenggunakan jentera kerajaan dalam kempen PRK Port Dickson.

Menjawab soalan, beliau berkata tazkirah di masjid atau surau yang disampaikan Anwar sama ada sebelum atau selepas solat adalah atas permintaan ahli kariah.

"Tazkirah adalah atas permintaan kariah dan sebagai orang Islam saya rasa tidak salah kerana bertujuan yang baik saling berpesan kepada perkara kebenaran dan kebaikan," katanya.