JEJAK JUARA FUTSAL PIALA MBNS 2019: BERSUKAN SAMBIL BERAMAL

Selasa, 6 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH

Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/5

SEREMBAN: Pertubuhan Komuniti Harapan Port Dickson (Brotherhood PD) akan menganjurkan Jejak Juara Futsal Piala MBNS 2019 Harapan Malaysia Baru.

Matlamatnya untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan berkenaan, di samping mengumpul dana bagi aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. 

Kejohanan tersebut turut mendapat kerjasama Persatuan Bola Sepak Port Dickson serta Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Port Dickson.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, kutipan dana dibuat bagi melancarkan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang giat dijalankan di Port Dickson.

"Kita harap NGO seperti ini (Brotherhood PD) dapat jalankan aktiviti dengan lebih berkesan, (dengan cara) bantu mereka yang memerlukan.

"Kita harap program ini bukan saja perkenalkan sukan, tapi juga (dapat) galakkan NGO agar terus aktif bantu masyarakat di luar sana dan mungkin boleh dikembangkan (aktiviti ini) ke daerah lain," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Liga Futsal Piala MBNS di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, semalam.

Aminuddin berkata, kejohanan tersebut juga merupakan satu platform bagi mencungkil bakat baharu, di samping menggalakkan aktiviti bersukan untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Jejak Juara Futsal Piala MBNS 2019, Mohd Hafiz Mohamad berkata, penyertaan terbuka kepada seluruh warga Negeri Sembilan dan termasuk negeri lain. 

"Kita jangkakan 100 hingga 130 pasukan akan menyertai kejohanan tersebut. Tapi, hanya terbuka kepada pasukan lelaki saja. 

"Mana-mana rakyat (pemain) dari luar Negeri Sembilan pun boleh main, tiada masalah. Kita buka juga penyertaan kepada pemain negeri dan kebangsaan, tapi hanya seorang saja untuk (setiap) satu pasukan.

"Kita nak beri peluang pada muka-muka baru untuk diketengahkan (dalam sukan futsal)," katanya.

Hafiz memberitahu, kejohanan itu akan berlangsung pada 14 dan 15 September 2019 bertempat di All Star Futsal, Pusat Bandar Senawang dan Public Star Futsal, Seremban 2.

Katanya, juara akan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala pusingan; naib juara RM3,000 manakala tempat ketiga menerima RM1,500 dan keempat RM750.00.

Tambahnya, pasukan yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir akan menerima RM300.

Selain itu, hadiah cabutan pasukan bertuah turut disediakan iaitu berupa jersi Pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan yang ditandatangani oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.