SAINS LAKSANAKAN PEMOTONGAN BEKALAN AIR MULAI 13 MEI

Rabu, 06 Mei 2020
Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

1/2

SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) akan melaksanakan pemotongan bekalan air bagi setiap bil yang tertunggak, mulai 13 hingga 22 Mei ini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Hajah Norzita Ismail berkata, langkah itu sejajar dengan pembacaan bil air di tapak yang berkuat kuasa bulan ini, berbanding pembacaan secara anggaran untuk bulan Mac dan April lalu.

Bagaimanapun menurutnya, langkah pemotongan bekalan air itu akan dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada sambutan Aidilfitri, sebelum disambung semula pada 30 Mei.

"Oleh demikian, pengguna SAINS diseru agar lebih bertanggungjawab terhadap pembayaran bil air untuk mengelakkan pemotongan.

"Pelbagai kaedah semakan dan pembayaran bil disediakan untuk pelanggan, selain hadir ke Kaunter Perkhidmatan Pelanggan.

"(Caranya) iaitu menggunakan kaedah lebih mudah, dengan memuat turun aplikasi telefon pintar iSAINS atau pembayaran secara atas talian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas perkhidmatan SAINS sepanjang PKPB pula, kata Norzita, pihaknya akan memulakan operasi secara menyeluruh namun masih mengekalkan penglibatan kakitangan yang minimum mengikut keperluan sebagai langkah pencegahan.

"SAINS akan memulakan waktu perkhidmatan pada jam 8 pagi hingga jam 4.30 petang.

"Sementara itu, waktu perkhidmatan bersama pelanggan akan bermula pada jam 9 pagi hingga jam 4 petang sahaja," katanya.