WABAK DEMAM CAMPAK DI TIGA NEGERI, KINI TAHAP TERKAWAL

Sabtu, 06 Julai 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Wartawan Lokasi: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Muhamad Syawal Saleh

1/5

PORT DICKSON: Wabak demam campak (measles) yang menimpa masyarakat Orang Asli di Kuala Koh, Kelantan; Kampung Gerdong, Terengganu dan Kampung Ulu Sat, Pahang sejak 3 Jun lalu, kini dilaporkan dalam tahap terkawal. 

Menteri Kesihatan, YB Dato' Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata selain tiga kematian yang berlaku pada bulan lepas, tiada kes kematian baharu dilaporkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga semalam.

"Kes kematian yang dilaporkan kepada KKM kekal tiga, yang mana ketiga-tiganya telah disahkan measles menerusi ujian makmal.

"Hasil bedah siasat oleh pasukan forensik juga mengesahkan bahawa kematian itu berpunca dari jangkitan dan komplikasi measles," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun hasil bedah siasat terhadap 12 mayat Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Kelantan pada 17 dan 18 Jun lalu pula mendapati punca kematian tidak dapat disahkan.

"Namun ujian toksikologi, logam berat dan entomologi masih belum diperolehi," katanya 12 mayat terbabit ditemui pihak polis pada 2 Mei hingga 6 Jun lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di Pantai Saujana, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Ahli Parlimen Port Dickson, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dato' Dr Zainudin Mohd Ali.

Sejak wabak itu dilaporkan pada 3 Jun lalu hingga semalam, kata Dzulkefly, kumulatif kes bergejala yang dilaporkan adalah sebanyak 173 kes.

"Kelantan 147 kes bergejala termasuk tiga kematian; Terengganu 18 kes bergejala dan tiada kematian; manakala Pahang lapan kes dan juga tiada kematian.

"Daripada jumlah tersebut, 82 kes telah disahkan measles melalui ujian makmal iaitu 62 kes di Kelantan; 16 kes di Terengganu dan empat kes di Pahang," katanya.