PERKESO SETUJU TERIMA CARUMAN SAM

Isnin, 06 Januari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Foto: Facebook Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia. Est 1969

1/3

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersetuju untuk menerima caruman daripada ahli Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang akan melindungi mereka dan ahli keluarga sekiranya ditimpa musibah.

Persefahaman ini dimeterai ketika kunjungan Presiden SAM, Jasni Shafie bersama Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed di Menara PERKESO, Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Menurut Dr Mohammed Azman, melalui caruman ini ahli SAM akan dilindungi daripada bencana termasuk penyakit dan kemalangan semasa menjalankan tugas.

"Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri ini telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri, termasuklah mereka yang terlibat dalam media sukan seperti penulis sukan; wartawan; editor; jurukamera; jurugambar; juruedit visual; artis grafik; juruteknik; produser dan mereka yang terlibat di balik tabir dalam industri media sukan.

"Caruman ini juga menawarkan faedah tunai kepada ahli SAM dan tanggungannya, di samping menyediakan rawatan perubatan; pemulihan jasmani dan latihan vokasional," katanya.

Sementara itu, Jasni berkata melalui skim baharu ini, PERKESO menawarkan caruman serendah RM157.20 setahun (RM13.10 sebulan) yang memberikan faedah perubatan sama ada hilang upaya kekal atau sementara; bayaran elaun dan faedah orang tanggungan serta kemudahan pemulihan jasmani serta pendidikan.

"Antara faedah yang bakal diterima oleh ahli SAM ialah mereka yang ditimpa bencana pekerjaan boleh mendapat rawatan percuma di klinik panel PERKESO serta bayaran ganti belanja rawatan. 

"Ia juga menawarkan pencen bulanan bermula RM945.00 sebulan kepada isteri atau tanggungan atau ibu bapa, yang akan dibayar sepanjang hayat. Ini sesuatu yang perlu dilakukan segera oleh SAM bagi melindungi ahli kami,’’ katanya.

Menurut Jasni, kerjasama dengan PERKESO dilihat dapat membuka peluang kepada setiap ahli membuat persiapan menghadapi sesuatu yang tidak diduga, apatah lagi dengan suasana ekonomi tidak menentu yang menyaksikan sebahagian industri media tempatan terpaksa ditutup atau saiznya dikecilkan.

"SAM melihat kerjasama dengan PERKESO ini sedikit sebanyak akan dapat membantu ahli, terutamanya yang bekerja sambilan dalam industri media untuk mendapatkan perlindungan insurans. 

"Kami mahu kebajikan dan masa depan mereka serta ahli keluarga akan terbela sekiranya sesuatu yang buruk menimpa," katanya.