SWM-D'TEMPAT JALIN USAHASAMA KITAR3CYCLE

Khamis, 6 Februari 2020

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/3

SEREMBAN: SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menjalinkan usaha sama bagi pelaksanaan program KITAR3CYCLE melibatkan ahli kelab dan kakitangan d'Tempat Country Club (d'Tempat).

Pengurus SWM Environment Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Dr Al'Ashari Othman berkata, pihaknya terus menggiatkan kerjasama strategik dengan pelbagai organisasi dalam pelaksanaan program amalan kitar semula.

"Sehingga kini, seramai 50 kakitangan d'Tempat berdaftar di bawah program KITAR3CYCLE. Jumlah ini akan terus meningkat dengan sesi taklimat dan juga kaunter penerangan, serta pendaftaran yang dijalankan dari semasa ke semasa.

"Pada masa terdekat ini, kita akan aturkan (beberapa) program susulan bersama ahli kelab d'Tempat bagi melaksanakan program berkenaan," katanya.

Menurut Al'Ashari, usaha sama itu bertepatan dengan kempen "Go Green" d'Tempat bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar dengan memupuk amalan dan membudayakan kitar semula dalam kalangan kakitangan serta ahli kelab berkenaan.

"Kita harap d'Tempat boleh jadi contoh teladan yang baik dan galakan kepada komuniti setempat di kawasan perbandaran Bandar Sri Sendayan untuk turut sertai program KITAR3CYCLE.

"Program ini akan dijadikan sebagai salah satu aktiviti untuk ahli kelab, di samping aktiviti riadah lain yang disediakan di d'Tempat.

"Kita juga mengalu-alukan penglibatan taman perumahan; badan kerajaan; swasta dan NGO untuk sama-sama terlibat dalam program yang bermanfaat ini," katanya ketika ditemui NS Daily di d'Tempat Country Club, di sini, hari ini.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung inisiatif KITAR3CYCLE, boleh disalurkan kepada pihak SWM Environment melalui WhatsApp di talian 012-6180082.