17 PESERTA SERTAI BENGKEL GULAI KEPALA KAMBING LUAK REMBAU

Jumaat, 6 Disember 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

1/4

REMBAU: Seramai 17 peserta menyertai Bengkel Masakan Gulai Kepala Kambing, Luak Rembau anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) bersama Balai Undang Luak Rembau di Muzium Rembau, Astana Raja, di sini.

Pengarah LMNS, Drs Shamsuddin Ahmad berkata, bengkel itu bertujuan memberi latihan secara praktikal kepada peserta, di samping menyediakan pembekal bagi memenuhi permintaan pengunjung untuk merasai juadah tersebut.

"Dalam pecahan seni dan budaya Adat Pepatih, ada (berkaitan) tentang makanan. Kali ini kita pilih Luak Rembau, yang mana temanya Gulai Kepala Kambing, Luak Rembau.

"Kita tahu bahawa setiap luak berbeza cara penyediaan gulai kepala kambing. Asasnya sama, tapi cara hidangan yang lain. Itu yang nampak unik.

"Jadi kita nak tengok cara penyediaan gulai kepala kambing Luak Rembau, supaya luak lain boleh pelajari," katanya kepada NS Daily, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, Datuk Adat bagi setiap adat akan mengendalikan Kelab Adat Pepatih di sekolah angkat yang terpilih mulai tahun depan.

"Datuk Adat yang mahir akan menurunkan kemahiran kepada anak muda (pelajar) dalam Kelab Adat Perpatih di sekolah.

"Contoh di Rembau, dah ada dua sekolah akan dipilih oleh Yang Teramat Mulia Dato' Undang Luak Rembau. Jadi, sekolah ini harus tahu Adat Luak Rembau," katanya.