PESARA DIGESA TERUS BERIKAN SUMBANGAN BAKTI

Oleh: Mohd Amin Jalil          Khamis, 06 Disember 2018 

SEREMBAN: Pesara kerajaan digalakkan supaya terus memberikan sumbangan bakti untuk kemajuan masyarakat dan kemakmuran negeri.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pengalaman luas dalam sektor awam bagi tempoh yang lama adalah sangat berharga dan sewajarnya dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat.

"Persaraan bukan suatu titik noktah, sebaliknya ia harus dianggap sebagai permulaan untuk perubahan. Justeru saya menggesa semua pesara kerajaan terutama ahli persatuan ini agar berganding bahu dengan kerajaan untuk membangunkan dan memajukan negeri ini.


"Mereka digalakkan supaya terus menawarkan

perkhidmatan bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada institusi tertentu dalam membantu meningkatkan mutu kerja dan produktiviti.

"Sesungguhnya pengalaman luas yang mereka miliki itu sangat berharga dan seharusnya dapat dikongsikan dengan orang lain untuk mencapai kecemerlangan," katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Cawangan Seremban di Dewan MPS, di sini, petang tadi.

Menteri Besar turut mengesyorkan supaya persatuan dapat merangka lebih banyak aktiviti untuk kepentingan ahli dan masyarakat.

Beliau percaya bahawa pembabitan pesara dalam aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan akan dapat mewujudkan modal insan yang baik dan progresif.

"Saya ucapkan syabas kepada persatuan ini yang sentiasa bergerak aktif untuk membantu ahli.

"Saya harap usaha itu dapat diteruskan dengan memberikan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada, untuk sama-sama menjayakan aspirasi negeri dan rakyat berlandaskan dasar bersih dan muafakat ke arah mencapai kemakmuran serta keharmonian," katanya.