PEMIMPIN MASYARAKAT DIGESA PROAKTIF

Oleh: Mohd Amin Jalil          Khamis, 06 Disember 2018 

SEREMBAN: Semua pemimpin masyarakat setempat khususnya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu bekerjasama dan bertindak proaktif dalam menyelesaikan setiap aduan dan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, mereka perlu berusaha menyalurkan setiap aduan daripada rakyat kepada agensi berkaitan.

Bagi tujuan itu katanya, pemimpin MPKK harus sentiasa menyimpan nombor penting agensi berkaitan yang melibatkan masyarakat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), SAINS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak lain yang berkaitan.


Menurut beliau, tujuannya supaya mereka boleh bertindak

dengan segera untuk menyalurkan sesuatu aduan rakyat kepada agensi berkenaan.

"Tindakan ini penting untuk memastikan setiap aduan dan permasalahan rakyat dapat diambil tindakan oleh agensi berkaitan.

"Kita tidak mahu mana-mana aduan yang membabitkan kepentingan rakyat, gagal diambil tindakan segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Program TNB Bersama Komuniti di Dewan Orang Ramai Sikamat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin menyambut baik program berkenaan kerana dapat membantu TNB dalam memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat, selain mampu menzahirkan nilai integriti petugas TNB.

Beliau yakin bahawa TNB mampu mencapai misinya bagi menghasilkan produk dan perkhidmatan cemerlang, malah boleh mencapai matlamat sebagai badan korporat yang terunggul di dunia.

Sehubungan itu, beliau berharap TNB dapat melaksanakan tanggungjawab dalam mengurangkan gangguan bekalan elektrik pada tahap minimum agar kepuasan pengguna dapat dioptimumkan untuk memastikan tiada pihak yang mengalami kerugian.

"Saya juga berharap TNB dapat membimbing komuniti awam dari aspek penjimatan, selain soal keselamatan supaya mereka lebih peka dari segi penggunaan peralatan bagi mengelak kemalangan," katanya.

Menteri Besar turut menghargai usaha TNB yang menyumbang 200 pakaian sekolah untuk program Back To School kepada keluarga miskin dan golongan asnaf dalam kawasan DUN Sikamat.