TUBUH JAWATANKUASA KHAS TANGANI LEMBU TERBIAR

Khamis, 5 September 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Nurul Haryani Hasrol & Muhamad Syawal Saleh

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan menangani masalah lembu terbiar yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, jawatankuasa itu berada di bawah seliaan Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Tuan Teo Kok Seong.

Menurutnya melalui jawatankuasa berkenaan, pelbagai perkara berkaitan akan diteliti antaranya dari segi peraturan; perundangan dan kompaun yang melibatkan akta kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) sedia ada.

"Tujuannya bukan untuk mendera atau menghukum penternak. Tapi nak pastikan keselamatan orang ramai diberikan perhatian.

"Kita harap (masalah) lembu terbiar ini dapat dikawal bukan saja di kawasan utama (jadi tumpuan) tapi di seluruh Negeri Sembilan, supaya kemalangan dapat dielakkan," katanya.

Mengulas lanjut, kata Aminuddin, kos penguatkuasaan ditanggung PBT berbanding amaun kompaun sedia ada juga perlu diperhalusi oleh jawatankuasa terbabit.

"Sekarang ramai (penternak) yang dikenakan kompaun RM200, mereka boleh bayar bila-bila masa. Sebab kita tahu, harga (seekor) lembu cukup mahal.

"Kalau setakat RM200, memang mereka mampu. Jadi kita tak nak perkara ini (amaun yang rendah) melekakan mereka, (sehingga) tiada rasa tanggungjawab kepada masyarakat.

"Tapi untuk buat operasi tangkapan (lembu), paling kurang pun kosnya RM3,000 lebih. (Tahap) kesukaran dan (aspek) keselamatan anggota penguat kuasa juga harus diteliti, sebab bukan mudah untuk naikkan lembu dalam kenderaan," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak PBT; pegawai undang-undang serta Jabatan Veterinar akan dipanggil bagi menyertai jawatankuasa berkenaan.

"Kita akan kaji semua (sudut berkaitan) supaya ada keseragaman dan kita nak program ini boleh menyedarkan masyarakat.

"Kita tak nak lagi ada kemalangan melibatkan binatang ternakan. Kita pandang serius perkara tersebut sebab melibatkan kematian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB Tuan J Arul Kumar.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, pihaknya dalam fasa percubaan melaksanakan penandaan (tagging) pada lembu di kawasan Nilai.

"Kita dah letakkan tag (penandaan) pada lembu-lembu (di sana) untuk pastikan tuan-tuan (pemilik) yang terlibat.

"Tapi ada majlis perbandaran lain yang belum buat. Jadi, kita nak selaraskan perkara ini supaya dapat menjamin keselamatan pengguna (jalan raya)," katanya.