MAJIKAN DIGESA BUAT CARUMAN PERKESO

Khamis, 5 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/3

SEREMBAN: Majikan di negeri ini digesa mendaftar dan mencarum pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, hampir 50 peratus majikan belum mencarum terutamanya industri-industri kecil.

"Kita mengharapkan kesedaran (daripada) majikan untuk jaga (kebajikan) pekerja. Contohnya, (pekerja) di restoran; kedai kek ataupun yang kerja di kantin sekolah.

"Majikan (perlu) juga pastikan caruman (PERKESO) itu dibayar ikut waktu, jangan tangguh kerana ini melibatkan hak pekerja yang harus ditunaikan.

"Saya menyeru majikan yang jalankan perniagaan kecil-kecilan dan layak untuk mencarum pekerja, (supaya) carumkanlah pekerja kerana (langkah) ini akan beri faedah (kepada) ramai rakyat di Negeri Sembilan," katanya.

Menurut Aminuddin, pemimpin masyarakat juga perlu peka dan mengambil berat tentang keperluan dan kebajikan rakyat.

"Pemimpin masyarakat merupakan majikan kepada rakyat. Pembangunan yang dirancang dan diusahakan oleh kerajaan (Negeri Sembilan) mesti seiring dengan kebajikan rakyat.

"Kemajuan sesebuah negeri itu tidak hanya diukur melalui pencapaian ekonomi, tapi harus dilihat dari aspek kebajikan rakyat terutamanya golongan yang memerlukan," katanya.

Jelasnya, inisiatif disediakan PERKESO dapat meningkatkan pemahaman rakyat akan peranan; skim dan faedah ditawarkan, di samping merapatkan hubungan antara pemimpin masyarakat di negeri ini dengan orang ramai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program PERKESO Bersama Pemimpin Masyarakat Peringkat PERKESO Negeri Sembilan Tahun 2019 di Klana Resort, di sini, tempoh hari.