OPERASI BESAR-BESARAN PERKESO

Khamis, 5 September 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/4

SEREMBAN: Persatuan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melakukan operasi besar-besaran bagi mengesan pemandu teksi; e-hailing dan bas yang masih tidak mendaftar dan mencarum dengan PERKESO.

Ketua EKsekutif PERKESO, Dato' Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, setakat ini sekitar 20 peratus sahaja yang mendaftar untuk caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

"(Seramai) 60,000 daripada 300,000 pemandu teksi; e-hailing dan bas sudah daftar. (Data) ini menunjukkan (jumlah caruman) masih jauh daripada sasaran.

"Kita akan ambil tindakan sebab dah bagi (tempoh) dua tahun. Jadi, dah sampai masa untuk ambil serius (dikuatkuasakan), sebab tak boleh biarkan mereka (pemandu) tak ada sebarang perlindungan.

"Kita harap bila adanya (berlaku) sebarang kejadian di luar jangkaan, mereka ada perlindungan," katanya.

Menurut Mohammed Azman, sebanyak 5,869 kes di bawah Skim Bencana Kerja dan 1,900 kes di bawah Skim Keilatan dengan jumlah RM31,778,857.89 dibayar kepada Orang Berinsurans serta Orang Tanggungan mereka sebagai faedah oleh PERKESO.

"Sehingga Julai ini, bayaran faedah sebanyak RM22,395,476.93 telah dibayar, untuk kes-kes Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di Negeri Sembilan.

"(Manakala) sebanyak 669 permohonan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) diluluskan melibatkan bantuan kewangan berjumlah RM1,646,306.96," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program PERKESO Bersama Pemimpin Masyarakat Peringkat PERKESO Negeri Sembilan Tahun 2019 di Klana Resort, di sini, tempoh hari.