PBNS TERIMA TAJAAN SEBANYAK RM2 JUTA

Sabtu, 5 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat

1/2

SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menerima tajaan sebanyak RM2 juta daripada syarikat permaidani, Carpet Prima Sdn Bhd (Carpet Prima).

Tajaan itu disampaikan oleh pemilik Carpet Prima, Encik T Deepak kepada Presiden PBNS, Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Penyerahan cek berkenaan diadakan dalam satu majlis ringkas di Wisma Negeri, di sini, semalam.

Tunku Syed Razman berkata, persatuan itu mengalu-alukan sebarang tajaan untuk pembangunan sukan bola sepak di negeri ini. 

"PBNS harap (akan) ada banyak pihak, individu atau syarikat tampil salurkan sumbangan dengan hasrat untuk melihat sukan ini terus dimajukan ke tahap lebih baik," katanya. 

Dalam pada itu, Tunku Syed Razman berkata, penyanyi yang berasal dari Negeri Sembilan, Ito Blues Gang bersetuju menghadiahkan sebuah lagu khas untuk PBNS.

Katanya, lagu itu dicipta bagi menyemarakkan lagi semangat penyokong bola sepak Negeri Sembilan dalam perlawanan akan datang, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian tajaan itu.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun yang merupakan Penasihat PBNS pula berkata, beliau percaya Skuad Jang akan kembali beraksi cemerlang dan merangkul piala kejohanan dalam perlawanan akan datang.

"Kita tak harapkan piala daripada PBNS pada tahun ini kerana ada penyusunan semula, dari segi pengurusan dan pemain. Tapi, pada musim akan datang, kita akan pastikan pasukan bawa pulang piala,"katanya.