"ANWAR HADIR SEBAGAI TETAMU"

Jumaat         05 Oktober 2018          

05 oct 5-1.jpg

PORT DICKSON: Kehadiran calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Negeri Sembilan, adalah sebagai tetamu.

Menteri Besar, Tuan Haji Amiruddin Harun berkata, beliau bersama Anwar sejak pagi dalam beberapa aktiviti termasuk bersarapan.

“Pagi tadi kami sarapan bersama dan kemudian beliau (Anwar) naik kereta saya, selepas bersetuju mengikut saya ke program bersama anggota tentera.

“Kita faham calon PRK tidak boleh berkempen dalam kem tentera.

“Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu kerana kehadiran Anwar atas jemputan saya," katanya pada sidang media di Dewan Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Wira Md Tajri Alwi dan Panglima 1 Briged, Brig Jen Datuk Reduan Omar.

Sementara itu, Reduan menjelaskan, calon memang dilarang berkempen dalam kem tentera namun kehadiran Anwar adalah atas undangan peribadi Menteri Besar.

“Kita hormati jemputan beliau sebagai tetamu," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, masalah kekurangan kemudahan perumahan khususnya rumah sendiri bagi anggota tentera akan diberikan perhatian.

Beliau berkata, kuota 50 peratus untuk Bumiputera bagi setiap projek perumahan kategori jenis A, B dan C boleh dimanfaatkan oleh anggota tentera untuk memiliki rumah sendiri.

"Saya akan pastikan selepas ini kuota berkenaan dapat dimanfaatkan anggota tentera yang belum memiliki rumah sendiri," katanya.

Dalam majlis sama, Menteri Besar turut mengumumkan bantuan sebanyak RM50,000 untuk Markas 1 Briged dan RM20,000 bagi Markas Latihan Tentera Darat.

“Ini adalah bantuan tahunan, dan tahun depan ada lagi peruntukan disalurkan kepada mereka," katanya.

Anwar dalam ucapan ringkasnya turut menyentuh soal perumahan anggota tentera dan perkara itu akan diberikan keutamaan, khususnya mereka yang belum mempunyai kediaman sendiri.