SPAN LUASKAN KEMPEN JOM JIMAT AIR DI MASJID NEGERI

Selasa, 6 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat & Nabilsyafiq MH

1/5

SEREMBAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memperluaskan kempen penjimatan penggunaan air terawat melalui pemasangan pili cekap air di Masjid Negeri, di sini, semalam.

Projek itu diusahakan menerusi platform Masjid Rakan SPAN hasil kerjasama suruhanjaya berkenaan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, projek tersebut dilaksanakan untuk mengurangkan pembaziran penggunaan air bersih di kawasan tumpuan awam seperti masjid.

"Usaha ini dilakukan untuk capai sasaran purata penggunaan maksimum 180 liter setiap hari bagi setiap individu, berbanding 201 liter seperti direkodkan pada tahun 2017," katanya.

Aminuddin berkata, sejumlah 62 pili air untuk tujuan berwuduk telah ditukar oleh SPAN daripada pili jenis konvensional kepada pili jenis cekap air dengan penarafan tiga bintang.

Justeru, pili itu hanya mengeluarkan maksimum dua liter air dalam tempoh seminit berbanding pili konvensional yang mengalirkan air sekitar lapan hingga 12 liter bagi setiap minit.

Menurutnya penggunaan produk dengan label cekap air, diyakini mampu mengurangkan perbelanjaan bil selain membantu menggalakkan penggunaan air secara berhemat.

"Pengunjung (jemaah) yang datang di Masjid Negeri dapat lihat sendiri faedah penggunaan air ini," katanya ketika ditemui pada Program Soft Launch Kerjasama Antara JHEAINS dan SPAN.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai seorang remaja perempuan warga Ireland berusia 15 tahun yang dipercayai hilang dari sebuah resort di Kampung Pantai, di sini.

"Usaha masih dijalankan. Tadi (semalam) saya dapat maklumat daripada Ketua Polis Negeri, Unit Gerakan (khas) ditubuhkan di tapak (lokasi kejadian) untuk siasatan.

"Kita juga guna beberapa (ekor) anjing pengesan daripada pihak polis dan bomba, dan sehingga hari ini belum ada perkembangan.

"Ada juga pandangan (supaya) guna helikopter, tapi kita lihat masalah hutan yang tebal. Tapi mungkin (digunakan), jika itu diperlukan dan kita akan mohon pihak polis untuk segerakan," katanya.