PUPUK NILAI PATRIOTISME MENERUSI PERTANDINGAN KOIR

Isnin, 5 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/5

SEREMBAN: Pertandingan Koir Antara Jabatan Kerajaan dilihat berpotensi memupuk nilai patriotisme terutamanya kepada generasi baharu.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, penganjuran program itu selaras dengan matlamat untuk menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan 2019.

"Kita lihat dalam pertandingan yang melibatkan lagu, penghayatan dan penjiwaan itu penting. Bukan hanya didendangkan begitu saja.

"Begitu juga bila kita nyanyikan lagu-lagu patriotik ini. Akan menaikkan semangat bukan saja pada mereka yang menyanyikannya, malah individu yang mendengar," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai pemilihan lagu 'Malaysia Bersih' sebagai lagu wajib pertandingan tersebut. 

Menurutnya, lagu ciptaan Muhammad Yuri Mohammed Idris dan lirik oleh Datuk Dr Anis Yusal Yussof itu jelas melambangkan semangat sebenar Malaysia Baharu. 

Tambahnya, lagu berkenaan menekankan kepentingan memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Koir Antara Jabatan Kerajaan Negeri Sembilan 2019 di Auditorium D'Sury, di sini, semalam.

Selain itu, kata Aminuddin, setiap individu juga perlu seia sekata, sehati dan sejiwa demi membarakan perasaan sayang kepada negara tercinta.

"Saya percaya lagu ini mampu semarakkan lagi semangat patriotisme, menyemai amalan budaya integriti serta menolak rasuah dalam kehidupan penjawat awam terutamanya," katanya.

Jelasnya, ia merupakan satu mesej kepada masyarakat bahawa semua penjawat awam di Negeri Sembilan sentiasa bersih menjalankan tugas dengan amanah dan membenci perbuatan rasuah.

"Kita perlu terus kekalkan semangat cintakan negara dan permuafakatan ini, supaya jadi tunjang kekuatan penjawat awam untuk terus memacu pembangunan dan kemajuan khususnya di negeri ini.

"(Di samping) semangat kerjasama yang ada dalam pasukan, akan menghasilkan kejayaan seiring laungan saya dalam frasa Bersih, Muafakat dan Sejahtera," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pertandingan itu juga bertujuan untuk mencungkil bakat seni dalam kalangan penjawat awam di Negeri Sembilan.