10,600 SERTAI IJM LAND HALF MARATHON 2019

Isnin, 5 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol

Jurufoto: Nabilsyafiq MH

1/7

SEREMBAN: Seramai 10,600 peserta menyertai program IJM Half Land Marathon 2019 yang diadakan di Dataran Centrio, Seremban 2, di sini, semalam.  

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, penganjuran program itu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi melahirkan masyarakat yang aktif bersukan dan menjalani gaya hidup sihat.

"Larian diadakan ini boleh jadi sebagai daya usaha untuk bentuk insan berkualiti bagi menjamin masa depan produktif; cergas dan aktif.

"Sukan merupakan salah satu langkah awal untuk mengawal sakit kronik misalnya darah tinggi; diabetes dan masalah jantung yang semakin membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.
 

Pada masa sama, kata beliau, penyertaan peserta daripada pelbagai kaum dan agama menunjukkan satu impak yang besar iaitu integrasi masyarakat majmuk sememangnya wujud dan utuh hingga ke hari ini. 

"Kemenangan merupakan elemen utama dalam setiap pertandingan tapi yang paling penting, peserta mengutamakan semangat kesukanan dan perpaduan antara satu sama lain.

"(Program) ini jadikan kehidupan sosial semakin meriah kerana adanya perpaduan dalam masyarakat untuk menjalani kehidupan yang sihat. 

"Kerajaan Negeri menyokong dan amat mengalu-alukan program seperti ini diadakan oleh agensi kerajaan atau badan korporat pada masa akan datang," katanya.