PERUMAHAN UNTUK PENJAWAT AWAM LANTIKAN KONTRAK

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Selasa, 05 Mac 2019 

1/4

GEMAS:  Sebanyak 250 unit kediaman bakal dibina di S2 Heights, Seremban 2 yang dikhususkan kepada penjawat awam berpendapatan rendah, termasuk kakitangan lantikan kontrak.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, langkah itu diambil oleh Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan kesukaran dialami terutama bagi staf kontrak untuk membuat pinjaman perumahan.   

"Kadang-kadang mereka nak beli rumah, tapi tak layak sebab mereka (berstatus lantikan) kontrak. Jadi hari ini, kita beri tumpuan juga pada mereka," katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, projek dianggarkan berkeluasan 30 ekar itu akan dilancarkan dalam masa terdekat. 

"Sekarang kita tengah buat urusan tanah, manakala reka bentuk (kediaman) semua dah hampir siap. Selepas ini, kita akan bawa untuk Kebenaran Merancang. 

"Harga (kediaman ditawarkan) pula antara RM80,000 sampai RM300,000. Projek ini dibangunkan oleh pemaju swasta dengan kerjasama Kerajaan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan proses pengundian dan penyerahan kunci rumah Taman Hala Cara Baru, di sini.

Turut hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan, Dato' Haji Zulkefly Mohamad Omar dan timbalannya, YB M Ravi serta beberapa Exco Kerajaan Negeri.