SALURKAN MAKLUMAT KEPINCANGAN KEPADA PIHAK BERWAJIB
Jumaat, 05 Julai 2019
Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib
Jurufoto: Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh
NILAI: "Kita (Kerajaan Negeri Sembilan) nak minta supaya rakyat berikan maklumat, jika ada berlaku sesuatu (perkara) yang tak baik.
"Berikan maklumat (secara) terus kepada kita, agar tindakan dapat diambil dengan segera," tegas Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.
Demikian peringatan beliau ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Seremban dan DUN Nilai di Dewan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), di sini.
Tujuannya untuk memastikan negeri ini sentiasa dalam keadaan baik, sejajar dengan slogan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan iaitu 'Bersih, Muafakat, Sejahtera'.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin turut menzahirkan kesyukuran berikutan Negeri Sembilan tidak termasuk dalam senarai 20 kawasan yang terlibat dengan pencemaran toksik berbahaya.
"Kita bersyukur kerana Negeri Sembilan terkeluar (daripada senarai) dan merupakan satu-satunya negeri di kawasan ini yang terkeluar. Jadi, saya ucapkan terima kasih (pada semua)," katanya.
Turut hadir adalah Ahli Parlimen Seremban, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook; ADUN Nilai, YB Tuan J Arul Kumar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YB Dato' Dr Razali Ab Malik.