GALAK PENGLIBATAN PIHAK SWASTA SEBAGAI BAPA ANGKAT

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib       Sabtu, 05 Januari 2019 

REMBAU: Penglibatan proaktif pihak swasta sebagai bapa angkat bagi kawasan yang menjadi tarikan pelancongan di negeri ini, amat dialu-alukan.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, salah satu contoh sepertimana peranan dimainkan Kibing Group Malaysia Sdn Bhd selaku bapa angkat Hutan Lipur Gunung Datuk.

"Ini merupakan satu usaha sama yang harus digalakkan. Kita harap lebih banyak lagi syarikat swasta jadi ayah angkat untuk tempat-tempat (pelancongan) lain.

"Ini bukan (bertujuan) untuk mengelakkan tanggungjawab kerajaan, tapi sebagai satu semangat (bagi) pihak swasta di Negeri Sembilan.


"(Supaya mereka) ambil inisiatif untuk memastikan

pembangunan negeri dipikul bersama demi kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengikuti program Plogging @ Gunung Datuk anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan di Taman Eko Rimba Gunung Datuk, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Tuan Haji Salim Aman dan Pengarah Urusan Kibing Group Malaysia Sdn Bhd, Tuan Lim Swee Ee.

Dalam pada itu, Aminuddin menaruh keyakinan terhadap kemampuan Kibing Group untuk membuat perubahan positif pada kawasan dipertanggungjawabkan.

"Hari ini kita tawarkan mereka (sebagai bapa angkat). Alhamdulillah, mereka terima dan mereka akan balik untuk bincang dengan jawatankuasa.

"Mereka akan bincang juga dengan Jabatan Perhutanan, apa keperluan dan kemudahan bakal diberikan.

"Tadi kita bercerita tentang sistem solar. Mungkin kita buat sistem solar di kawasan ini bagi memudahkan (agar) ada (pemasangan) lampu untuk mereka naik trek," katanya.

1/3