PENDUDUK TERIMA BANTUAN BULANAN RM200

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Jumaat, 05 April 2019 

1/7

REMBAU: 57 keluarga di Desa Rimbunan Kaseh, Kampung Batu Hampar, di sini, mendapat bantuan sebanyak RM200 secara bulanan daripada Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Baitulmal mulai bulan ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, matlamat pemberian bantuan berbentuk baucar itu bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung penduduk terlibat.

Menurutnya, baucar berkenaan boleh ditukarkan dengan barangan keperluan harian di kedai koperasi yang bakal diwujudkan dalam masa terdekat.

"Koperasi akan tubuhkan satu kedai di sini. (Kemudian) mereka boleh beli (barangan diperlukan) daripada koperasi.

"Keuntungan diperoleh koperasi nanti boleh digunakan balik untuk membantu penduduk di kawasan ini.

"Sementara untuk bulan ini (sebelum kedai ditubuhkan), kita serah kepada NGO AKAR (Akademi Peranserta Rakyat) untuk lihat bagaimana (diuruskan)," katanya.

Mengulas mengenai koperasi yang bakal diwujudkan di Desa Rimbunan Kaseh pula, kata Aminuddin, usaha sama dengan AKAR itu akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Kita akan buat beberapa aktiviti (melalui pihak koperasi). Macam tadi, kita diperkenalkan (inisiatif) untuk mengadakan penghasilan madu kelulut. Kita juga akan tanam cincau.

"Kita akan gunakan apa (fasiliti) ditinggalkan oleh Iris. Tapi selepas mereka benar-benar menyerahkan kepada kita tapak semaian, tapak pertanian dan tapak peliharaan ikan (dimiliki sebelum ini).

"Dengan terbinanya koperasi ini, kita akan ada homestay dan gunakan rumah besar di belakang sana untuk tujuan (penyewaan bagi) kenduri-kendara atau (sambutan) hari keluarga.

"Kita akan pastikan duit tersebut masuk ke dalam akaun koperasi dan akhirnya diagih-agihkan untuk kegunaan masyarakat di sini," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran program Sahabat-Amin di Desa Rimbunan Kaseh, Kampung Batu Hampar, di sini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato' Dr Razali Ab Malik dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Rahmatullah Khan Abdul Wahab Khan.

Untuk rekod, seramai 57 keluarga miskin yang sebelum ini tidak mempunyai rumah dan pekerjaan tetap, telah ditempatkan di Desa Rimbunan Kaseh, di sini.

Setiap keluarga diberikan peluang untuk memiliki sebuah kediaman kos rendah secara sewa beli dengan bayaran RM153 sebulan.

Sejak dua tahun lalu, ahli keluarga mereka juga telah diberikan pekerjaan tetap di bawah projek khas ekonomi di kawasan berkenaan.

Namun atas sebab-sebab tertentu, mereka terpaksa diberhentikan oleh pihak majikan mulai Mac lalu.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan termasuk NGO iaitu AKAR telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu penduduk yang terlibat.