PENGISYTIHARAN SEREMBAN SEBAGAI BANDARAYA DITANGGUHKAN

Selasa         04 September 2018          Foto: Nabilsyafiq Mohd Hamzah

04 sep 1
04 sep 2
04 sep 3
04 sep 4
04 sep 5

SEREMBAN: Pengisytiharan Seremban sebagai bandaraya yang dijadualkan pada 1 Januari tahun hadapan ditangguhkan berikutan kelewatan kontraktor menyiapkan pengubahsuaian bangunan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri juga akan membuat kajian semula bagi mengenal pasti beberapa kelemahan selain meningkatkan lagi kemudahan prasarana yang sesuai, sebelum Seremban benar-benar menjadi sebuah bandaraya.

 

"Kontraktor yang mengubah suai bangunan yang akan menjadi pejabat MBS itu memohon penangguhan tarikh penyerahan projek kerana tidak dapat menyiapkannya mengikut jadual asal.

 

"Kita juga perlu mengenal pasti kelemahan yang wujud terutama membabitkan infrastruktur awam yang sepatutnya disediakan terlebih dahulu.

"Justeru, kita menjangkakan pengisytiharan itu akan dibuat pada pertengahan tahun hadapan," katanya selepas menghadiri perhimpunan khas Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) di sini.

 

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan menggunakan sistem perjawatan terbuka di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan permohonan mengenainya akan dihantar kepada Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

 

"Sistem perjawatan terbuka ini membolehkan pegawai dan kakitangan semua PBT di negeri ini bertukar ke daerah lain dan pada masa sama meningkatkan peluang kenaikan pangkat mengikut penilaian prestasi," katanya.

 

Sementara itu, Aminuddin berkata, Jabatan Kesihatan Negeri diarah mengadakan operasi penguatkuasaan larangan merokok di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan.

 

"Bangunan kerajaan adalah kawasan larangan, tapi ramai yang merokok dengan bebas, malah membuang puntung rokok merata-rata. Kita mahu operasi penguatkuasaan dilakukan bagi menangani perangai buruk ini," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau turut menegur warga MPS dan MPN supaya mengubah sikap dengan lebih prihatin terhadap kebersihan supaya imej PBT itu meningkat pada mata masyarakat.

 

"Kita mahu slogan Bersih, Muafakat dan Sejahtera itu dapat dihayati sepenuhnya. Kerajaan negeri juga akan mengkaji untuk menambah klausa khas dalam setiap kontrak pembersihan yang membolehkan perkhidmatan syarikat terbabit ditamatkan jika kualiti kerja tidak mencapai tahap sewajarnya," tegasnya.