KOMITED TARIK PELABUR TEMPATAN DAN LUAR NEGARA

Jumaat, 4 Oktober 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/1

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk menarik ramai pelabur tempatan dan luar negara membuat pelaburan di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, YB Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, antara langkah membesarkan ekonomi adalah dengan mengadakan misi perdagangan ke luar negara serta mengadakan pertemuan dengan pelabur tempatan.

Menurutnya, langkah itu dilaksanakan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
 

"Kita ada pelaburan langsung domestik dan (pada masa sama) kita juga mahukan pelaburan langsung asing.

"Kita nak pastikan pelabur yang datang ini (adalah) pelabur yang berkualiti, yang menggunakan teknologi tinggi dan pekerja yang mahir.

"Kita juga menyeru (kepada) ibu bapa supaya galakkan anak-anak memasuki kursus TVET kerana kerajaan sedang berusaha untuk bawa pelaburan yang bernilai, untuk pastikan bahawa kita juga ada pekerja berkemahiran untuk bekerja di syarikat yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini, tempoh hari.

Dalam pada itu, Rafie berkata, Kerajaan Negeri telah mengadakan misi perdagangan ke China baru-baru ini, yang menyasarkan pelabur dalam bidang industri aeroangkasa.

“Pada misi kedua, saya dan YB Teo Kok Seong ke Taiwan untuk menarik pelabur dalam industri bioteknologi; makanan dan minuman; perubatan dan juga kosmetik.

"Kita lihat banyak usahawan dari negara China dan Taiwan mula memikirkan untuk alihkan pelaburan ke negara di Asia Tenggara.

"(Oleh itu), kita nak pastikan Malaysia khususnya Negeri Sembilan mendapat kesan kerana sekarang berlaku 'Trade War' antara China dan Amerika Syarikat," katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menyasarkan pasaran Singapura dan Eropah serta merancang untuk mengadakan misi perdagangan ke Eropah pada awal tahun depan.