KELUARGA ALLAHYARHAM ADNAN DIBANTU

Khamis          04 Oktober 2018          

04 oct 5-1.jpg

SEREMBAN: Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun memberi penghormatan terakhir ke atas jenazah Pegawai Bomba, Allahyarham Adnan Othman, 33, di Masjid Jamek Kariah Lukut, di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) itu yang dibawa dari Balai Bomba Seksyen 15 Shah Alam, Selangor tiba di rumah keluarganya di Taman Jaya Lukut sekitar jam 11.48 pagi sebelum dibawa ke Masjid Jamek Kariah Lukut.

Ketika ditemui selepas itu, Aminuddin berkata, beliau bagi pihak kerajaan negeri mengakui bahawa negara kehilangan enam anggota bomba yang cukup berdedikasi dalam tugas diamanahkan.

"Saya doakan agar keenam-enam Allahyarham yang terkorban ini tergolong dalam kalangan mereka yang syahid.

"Saya juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham anggota bomba yang terkorban, serta keluarga remaja terlibat.

"Bagi kerajaan negeri, kita akan sentiasa memberikan bantuan yang diperlukan kepada keluarga ini," katanya.

Aminuddin berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Pengarah Bomba negeri untuk menyampaikan sumbangan kepada balu dan keluarga Allahyarham.

Menurutnya, bentuk sumbangan akan ditentukan secara bersama dengan pihak bomba.

"Kita akan pastikan keluarga Allahyarham mendapat perhatian sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Isteri Allahyarham Adnan, Norshamiza Salleh, 32, ketika ditemui berkata dirinya redha dengan ujian dihadapi.

"Saya tak tahu nak cakap apa, sebab kejadian dah berlaku. Tapi saya tetap berfikiran positif kerana suami pergi dalam keadaan baik," katanya.

Adnan meninggalkan seorang isteri dan dua anak, masing-masing berumur tiga dan lima tahun.

Semalam, enam anggota penyelam PPDA maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di sebuah lombong di Puchong.