PM SETUJU BANGUNKAN HAB PENERBANGAN NS

Khamis          04 Oktober 2018          

04 oct 1-1.jpg

SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal memiliki hab penerbangan bertaraf antarabangsa pada masa depan apabila projek berkenaan yang dirancang dilaksanakan di daerah Port Dickson, dapat direalisasikan.

Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menerima baik cadangan kerajaan negeri itu untuk membangunkan projek berkenaan.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi membentangkan projek berkenaan di Putrajaya, semalam.

"Dr Mahathir bersetuju dengan cadangan itu dan kita akan umumkan mengenai hal ini dalam masa terdekat.

"Kerajaan negeri juga akan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak yang dipersetujui Dr Mahathir bagi mempercepatkan cadangan berkenaan.

"Setakat ini, tapak yang dicadangkan adalah kawasan Tanah Merah, Port Dickson, namun ianya akan bergantung pihak Airbus, yang akan melabur dalam projek itu," katanya selepas melawat rumah seorang penduduk, Alimah Abu Bakar, 93, yang terbakar di Kampung Ismail, Ampangan.

Kerajaan negeri yakin projek berkenaan mampu dilaksanakan dengan baik sesuai dengan kedudukan negeri ini yang paling hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam laporan media sebelum ini, Airbus bersetuju untuk menjalankan kajian sebelum melabur dalam hab penerbangan yang akan dibangunkan di Negeri Sembilan.