KEUNIKAN ISTANA LAMA SERI MENANTI

Sabtu, 3 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH & Muhammad Faiz Limat
Juruvideo: Muhamad Syawal Saleh

1/2

KUALA PILAH: Istana Lama Seri Menanti yang berketinggian 67 kaki dan merupakan istana kayu paling tinggi di dunia ini mempunyai keunikan tersendiri.

Menurut Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Drs Shamsudin Ahmad, bangunan yang siap dibina pada tahun 1908 itu tidak menggunakan sebarang paku besi.

Sebaliknya kata beliau, paku bagi istana berkenaan diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan bahawa kerja pemuliharaan dan naik taraf perlu dilaksanakan.
 

Jelas Shamsudin, tujuannya untuk memelihara warisan kebudayaan dan keberadaban masyarakat Negeri Sembilan.

"(Projek) naik taraf muzium ini melibatkan tingkat satu, dua, tiga dan empat. 

"(Fokus) khusus tentang tiang seri, di mana empat tiang serinya dibaik pulih supaya kekal utuh bagi tempoh beberapa tahun lagi.

"(Terdapat juga) beberapa ruang yang belum dilaksanakan, (itu) kita tunggu fasa kedua," katanya kepada NS Daily, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Pilah mulai 25 November 2016 dan siap pada 22 Mac lalu.

Dana pula diperolehi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) sebanyak RM4.5 juta. 

"Pada 1 September depan, kita akan buka muzium ini untuk (pelancong) masuk dalam istana. 

"(Pelancong boleh) lihat secara lebih dekat, macam mana reka bentuk dan hiasan dalaman istana, menerusi ruang tertentu yang khusus.

"(Serta) kita (pelancong) dapat lihat tentang sejarah Diraja di Negeri Sembilan," katanya.

Menurut Shamsudin lagi, pemuliharaan dan naik taraf istana lama itu dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung sekali gus merangsang ekonomi masyarakat setempat.

Beliau berkata, pemuliharaan dan naik taraf berkenaan juga berupaya mengangkat industri pelancongan Negeri Sembilan setaraf dengan negeri lain.

Pada masa sama, mencapai sasaran kerajaan untuk menarik 30 juta pelancong ke negara ini sempena kempen Melawat Malaysia 2020.