NEGERI SEMBILAN KOMITED KURANGKAN PENGGUNAAN PLASTIK

Ahad, 4 Ogos 2019

Oleh: Nurul Haryani Hasrol
Jurufoto: Nabilsyafiq MH
Juruvideo: Muhammad Faiz Limat

1/6

NILAI: Kerajaan Negeri memandang serius terhadap setiap usaha untuk menangani masalah pencemaran yang melibatkan plastik.

Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata sehubungan itu, tindakan segera akan diambil demi menjaga kelestarian alam sekitar.

"Kita akan buat kempen secara besar-besaran khusus kepada penduduk di Negeri Sembilan, supaya plastik ini dapat diasingkan penggunaannya," katanya.

Menurutnya, kempen ini merupakan langkah awal yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menyedarkan masyarakat bahawa penggunaan plastik boleh memberi impak negatif kepada manusia dan alam sekitar.

"Kita nak elakkan mereka buang (beg plastik) sesuka hati, (sebab) akan rosak alam sekitar kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sembilan 2019 di AEON Mall, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya akan turut memaklumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar membersihkan kilang pembuatan plastik luar negara yang tidak lagi beroperasi. 

Pada 10 Oktober tahun lepas, Jemaah Menteri telah meluluskan 'Malaysia's Road Map Towards Zero Single-Use Plastics, 2018-2030'.

Kempen ini disaran kepada semua warga kementerian termasuk kerajaan di peringkat negeri, untuk mengadakan kempen-kempen kesedaran mengenai pencemaran tersebut demi menjaga kesihatan mahu pun alam sekitar.