KARNIVAL DEEPAVALI PERINGKAT NEGERI SEMBILAN MERIAH

Ahad          04 November 2018          

03 nov 2-1.jpg

SEREMBAN: Karnival Deepavali Peringkat Negeri Sembilan 2018 yang diadakan di Jalan Dato Lee Fong Yee dan dirasmikan malam tadi mencapai matlamatnya.

Karnival itu yang diserikan dengan pelbagai aktiviti jualan dan persembahan kebudayaan serta kesenian, bukan sekadar menerima sambutan menggalakkan dari pengunjung, tetapi berjaya membantu 61 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) negeri ini menerusi sumbangan dana hasil daripada lebihan sewaan tapak jualan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Tuan J Arul Kumar berkata, sebahagian besar Guru Besar SJKT hadir pada majlis itu.


Katanya, mereka menerima sumbangan bantuan

kewangan bagi tujuan pendidikan di sekolah masing-masing.

"Guru Besar terbabit bukan sahaja menyambut baik program ini, malah mengakui sebelum ini tidak pernah menerima bantuan menerusi aktiviti karnival Deepavali seperti ini.

"Jelas sekali karnival ini yang dicetuskan oleh Menteri Besar Tuan Haji Aminuddin Harun, mencapai matlamatnya untuk membantu SJKT bagi kepentingan sekolah dan murid," katanya.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Tuan Haji Zulkefly Omar merasmikan karnival berkenaan bagi mewakili Menteri Besar.

Arul yang juga Pengerusi karnival berkenaan berkata, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran karnival berkenaan kerana dapat membantu sekolah selain memberi peluang peniaga menambah pendapatan.

"Saya puas hati kerana karnival ini mendapat sambutan amat baik dan merancang dijadikan sebagai acara tahunan," katanya.

Karnival julung kali diadakan itu yang berkonsepkan amal adalah anjuran kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) sudah bermula dari 27 Oktober lalu dan akan berakhir pada 5 November ini.