1,230 MURID TERIMA MANFAAT N9 BAS 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Isnin, 04 Mac 2019 

1/5

JELEBU:  Seramai 1,230 murid di Negeri Sembilan bakal menerima manfaat menerusi program N9 BAS 2019 yang dilancarkan hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, BAS iaitu singkatan bagi 'Bantuan Anak Sekolah' dilaksanakan dari Januari hingga November tahun ini. 

Menurut beliau, setiap pelajar yang layak akan diberi bantuan berbentuk tambang bas sekolah sebanyak RM50 secara bulanan. 

Tambahnya lagi, penerima dalam kalangan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 yang berada dalam senarai e-Kasih dari 71 sekolah bandar dan 176 sekolah luar bandar. 
 

"Kita akan bayar terus untuk tiga bulan, iaitu (melibatkan bulan) Januari, Februari dan Mac. Alhamdulilah, pertama kali bantuan sebegini diadakan di Negeri Sembilan.   

"Kerajaan Pakatan Harapan dah tunaikan janji (dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14). Kita dah letak dalam Bajet (Negeri Sembilan), peruntukan RM900,000. 

"Tujuannya untuk meningkatkan lagi kehadiran anak-anak yang kurang berkemampuan, ke sekolah. Supaya mereka dapat pendidikan yang baik dan sempurna," katanya.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri turut berharap program N9 BAS dapat dikembangkan ke peringkat sekolah menengah pada masa akan datang.

"Cuma peringkat awal ini, biarlah (pelaksanaannya) di sekolah rendah dulu untuk kita lihat keberkesanannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran bantuan berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Klawang, di sini.

Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dato' Haji Pkharuddin Ghazali dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Tuan Mohamad Hapil.