38,000 KILOGRAM DAGING DIJUAL SEMPENA MANTAI PERDANA

Selasa, 04 Jun 2019

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib

Live Video: Mohd Zamzuri Daud
Foto: Nabilsyafiq MH

1/7

SEREMBAN: Sebanyak 38,000 kilogram daging dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran sempena program Mantai Perdana Aidilfitri yang berlangsung di setiap daerah, semalam.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut merupakan hasil sembelihan membabitkan kira-kira 380 ekor lembu yang dipantau oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Tambahnya bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat daging yang ditawarkan, setiap pengunjung dihadkan membeli tiga kilogram daging sahaja pada program berkenaan.

Menurutnya pendekatan seumpama itu bakal memberi manfaat kepada lebih kurang 12,666 penduduk, apatah lagi penganjurannya telah diperluaskan ke seluruh negeri ini.

"Daging (pejal) dijual pada harga RM29 sekilogram, manakala daging batang pinang dijual pada harga RM35. Tulang selangka (rusuk), organ dalaman dan tulang pula dijual dengan harga RM29 sekilogram.

 

"Objektif utama kita adalah untuk membudayakan salah satu acara tradisi yang saban tahun diamalkan penduduk Negeri Sembilan, sejak berkurun lamanya. Kalau tak ada program mantai, bermakna hari raya tak meriah disambut di Negeri Sembilan.

"Di samping itu, tujuan kita mengadakan program mantai ini bagi membantu pengusaha ternakan di Negeri Sembilan untuk mereka sama-sama memasarkan hasil ternakan secara terus kepada rakyat," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Program Mantai Perdana Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Dato' Klana Petra Lela Mohd Yusof di Sikamat, di sini.

Turut hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Dato' Haji Zulkefly Mohamad Omar dan Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, YB Mohd Khidir Majid.

Untuk rekod, program Mantai Perdana kali ini tidak lagi tertumpu di satu lokasi sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya sejak diperkenalkan pada tahun 2008.

Sebaliknya empat lokasi telah dipilih bagi daerah Seremban untuk edisi 2019 iaitu di Masjid Dato' Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat; Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR), Paroi; Dewan Orang Ramai Dato' Shahardin, Batu 8, Labu dan Pasar Nilai 3, Blok E, Nilai.

Tapak Pasar Tani Kuala Pilah pula merupakan tapak penganjuran bagi daerah Kuala Pilah manakala Rembau di Dewan Agora; Tampin di Kompleks Arena; Jempol di Tapak Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol; Jelebu di parkir Dewan D'Sury, Kuala Klawang; Gemas di Dewan Besar Gemas dan Port Dickson di tapak Pasar Tani Batu 1.