BERSAMA TERJEMAHKAN BELANJAWAN NEGERI

Oleh: Mohd Amin Jalil         Jumaat, 04 Januari 2019 

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mahu kakitangan jabatan kerajaan di negeri ini mengamalkan urus tadbir yang baik dan bertindak proaktif dalam memastikan setiap perkara diumumkan dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2019, dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Menteri Besar, Tuan Haji Aminuddin Harun berkata, sebagai agensi pelaksana, jabatan kerajaan memainkan peranan penting bagi memastikan dana yang diperuntukkan kepada rakyat itu sampai kepada golongan berkenaan.

"Apabila kita membentangkan bajet, kita mahu ia sampai kepada rakyat sepertimana yang ditetapkan.


"Justeru, ia memerlukan perancangan yang rapi dan pengurusan terbaik daripada kakitangan kerajaan. Kita

tidak mahu pelaksanaan atau agihan peruntukan itu lewat sampai kepada rakyat disebabkan urus tadbir yang lemah atau sebagainya.

"Oleh itu, saya mahu kakitangan di setiap agensi kerajaan negeri membuat perancangan yang rapi dan tersusun dalam melaksanakan bajet itu supaya dapat dijayakan seperti dirancang atau sebelum berakhir tempoh ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu dan bersiaran secara langsung di konti Negeri FM di Sungai Gadut, di sini, hari ini.

Pada 17 Disember 2018, Aminuddin membentangkan belanjawan berimbang di Dewan Undangan Negeri membabitkan peruntukan sebanyak RM430 juta iaitu meningkat RM18 juta atau 4.37 peratus berbanding RM412 juta pada tahun 2018.

 

Belanjawan itu membabitkan anggaran belanjawan mengurus meliputi emolumen sebanyak RM169.25 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM90.19 juta), perolehan aset (RM3.38 juta), pemberian dan bayaran tetap (RM160.13 juta) serta perbelanjaan lain, RM7.05 juta.

Selain itu, sebanyak RM116.9 juta pula diperuntukkan bagi melaksanakan agenda pembangunan yang menjadikan peruntukan pembangunan terbesar dicatatkan dalam belanjawan di negeri ini sejak lima tahun lalu.

Mengulas lanjut, Menteri Besar berkata, pelaksanaan belanjawan itu dengan baik amat penting supaya pembangunan negeri dan kemajuan hidup rakyat tercapai.

"Saya harap rakyat negeri ini dapat menerima belanjawan berkenaan dengan hati terbuka kerana ia dibuat selepas mengambil kira kepentingan mereka dan mahukan perubahan dalam kehidupan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin menjelaskan bahawa pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai rancangan untuk membangunkan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

"Saya akan bincang dengan beliau (Anwar) dan akan lihat dari pelbagai aspek untuk majukan Port Dickson dan menarik lebih ramai pelancong ke situ," katanya.

1/3