JUMLAH PERUNTUKAN BERTAMBAH RM4.5 JUTA

Oleh: Khairulkheiza Mohd Najib      Isnin, 04 Februari 2019 

1/1

SEREMBAN: "Cadangan pembinaan masjid baru di Nilai Impian pada asalnya melibatkan peruntukan sebanyak RM7 juta, manakala peruntukan asal untuk pembinaan masjid baru di Taman Bukit Kepayang sebanyak RM3.5 juta.

 

"Bagaimanapun, projek pembinaannya telah ditangguhkan sehingga mendapat pertimbangan semula untuk dilaksanakan pada bulan November 2018 dengan peruntukan lebih besar," ujar Menteri Besar, Dato' Seri Haji Aminuddin Harun.

 

Menurut beliau, peruntukan baharu bagi pembinaan masjid di Nilai Impian kemudian ditambah daripada RM7 juta kepada RM9 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM2 juta.

"Cadangan untuk pembinaan masjid di Taman Bukit Kepayang pula, peruntukannya telah meningkat daripada RM3.5 juta menjadi RM6 juta iaitu pertambahan sebanyak RM2.5 juta.

 

"Maknanya untuk kedua-dua pembinaan masjid ini, kerajaan telah meningkatkan jumlah peruntukan asal daripada RM10.5 juta kepada RM15 juta. Pertambahan ini sebanyak RM4.5 juta," katanya.

 

Mengulas status terkini pelaksanaan pembinaan kedua-dua masjid berkenaan, kata Aminuddin, masjid di Nilai Impian akan diiklankan pada bulan ini.

 

"Sementara itu, kerja tanah bagi masjid di Taman Bukit Kepayang akan diiklan untuk ditender juga pada bulan ini. Tapi hanya libatkan kerja tanah dan pengalihan parit," katanya. 

 

Beliau berkata demikian kepada NS Daily, bagi merungkai kekeliruan dan polemik yang timbul dalam kalangan masyarakat membabitkan beberapa projek pembinaan masjid baharu di negeri ini.

 

Dalam pada itu kata beliau, kelewatan pembinaan masjid baharu di Taman Desa Puteri, Bahau disebabkan oleh tapak yang dicadangkan pihak pemaju tidak sesuai.

 

"Sehingga PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) yang lalu, isu tapak untuk masjid ini masih belum selesai.

 

"Justeru pelaksanaannya telah ditangguhkan, sehingga Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dapat mengesahkan tapak yang sesuai untuk masjid tersebut," katanya.

 

NS Daily melaporkan sebelum ini, Kerajaan Negeri Sembilan menyangkal dakwaan bahawa peruntukan untuk membina masjid baharu di pinggir Bandar IOI di Bahau, Jempol dibatalkan.

 

Menteri Besar menegaskan, penarikan kelulusan itu bagi memberi laluan untuk kajian semula terhadap projek berkenaan.

 

"Ada masjid yang mana peringkat awalnya ditarik balik (kelulusan), tapi diberi semula peruntukan lebih baik berbanding terdahulu sebab mereka (Kerajaan Persekutuan) lihat keperluan itu penting.

 

"Ini yang berlaku di Nilai Impian dan Taman Bukit Kepayang. Bajet diberikan bagi dua contoh (masjid) saya katakan tadi bukannya berkurangan, malah bertambah," katanya.